Sep 18, 2020 - FASSkuad Selangor akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor bagi meneruskan perjuangan perlawanan CIMB Liga Super 2020 ke-8 pada 19 September ini menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT).
Pertemuan ini merupakan perlawanan ke-6 Selangor sejak tahun 2017 sebagai pasukan pelawat di Johor. Ini juga merupakan perlawanan pertama skuad Merah Kuning di laman baru JDT.
B.Satiananthan, ketua jurulatih Selangor menyatakan bahawa tidak ada yang mustahil dan pasukan akan berusaha keras menentang JDT seperti dalam perlawanan sebelum ini.
“Barisan jurulatih meminta pemain memberikan yang terbaik seperti yang mereka berikan setakat ini, tidak ada yang mustahil tetapi kita harus berusaha sangat keras untuk mempamerkan aksi yang baik bagi mendapatkan keputusan yang terbaik,” kata Satiananthan.
Selangor bakal beraksi menentang JDT tanpa kehadiran beberapa tonggak utama seperti pemain naturalisasi, Brendan Gan yang digantung ekoran dilayangkan kad merah sewaktu perlawanan menentang Melaka United minggu lalu dan penjaga gol utama, Khairulazhan Khalid yang dilepaskan atas urusan peribadi.
Meskipun tidak mempunyai kesebelasan utama terbaiknya, Satiananthan merasakan ini merupakan peluang yang ideal bagi pemain lain untuk menyinar.
“Menentang pasukan yang hebat akan memberi motivasi tinggi kepada para pemain biarpun tanpa beberapa tonggak utama pasukan. Ini adalah peluang kepada pemain lain untuk menyinar dan menunjukkan kelebihan mereka,” tambahnya.
Bagi keberadaan pemain pula, Mukhairi Ajmal masih belum dapat disenaraikan atas faktor kecederaan, manakala Hakim Hassan masih belum sedia untuk diturunkan kerana masih menjalani proses fisioterapi.
Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta CIMB Liga Super 2020 adalah di tangga ke-6 dengan 10 mata terkumpul hasil dari dua kemenangan, empat seri, dan satu kekalahan.
Semoga tiga mata penuh berjaya diraih Selangor dalam perlawanan di Johor sekaligus mengekalkan momentum rentak perlawanan yang terbaik sehingga tamat CIMB Liga Super 2020.
Semangat Gergasi Merah!